KUALA LUMPUR, 8 Septermber (Bernama) — Penubuhan Cyber Range Malaysia bakal melahirkan lebih ramai tenaga pakar pertahanan keselamatan siber bagi membina keselamatan siber yang dinamik serta menyokong transformasi Malaysia ke arah negara ekonomi digital berpendapatan tinggi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi(MOSTI) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata ia merupakan yang pertama ditubuhkan di Malaysia dan bertaraf dunia serta penting sebagai langkah persediaan terhadap serangan siber yang mampu memudaratkan bukan sahaja sesebuah sistem organsasi malah sistem ekonomi dan kerajaan.

Selepas tamat kursus, mereka boleh gunakan kepakaran itu untuk membina pertahanan keselamatan sendiri dan mempertahankan sistem organisasi mereka daripada ancaman serangan siber,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Makmal Cyber Range di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) di sini, hari ini.

Madius berkata serangan siber kini bukan sahaja terdiri daripada penggodam malah pencerobohan oleh pihak-pihak tertentu untuk mencuri data-data sulit yang disimpan, penipuan data syarikat dan serangan virus yang menjejaskan keselamatan negara.

“Serangan seperti ini dikatakan serangan alam maya, yang tidak nampak. Bukan seperti serangan bom yang boleh kita lihat. Maka, keselamatan dan pertahanan sistem organisasi perlu dipertingkatkan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Cyber Security Malaysia, Amirudin Abdul Wahab berkata ancaman serangan siber datang dalam pelbagai bentuk dan lebih 80,000 serangan siber diterima sejak tahun 1997.

Beliau turut menjelaskan kursus di Cyber Range ini meliputi 70 peratus amali dan 30 peratus teori yang mana pembelajarannya di UIAM yang turut mendapat kerjasama Cyber Intelligence Sdn Bhd sebagai pembekal perkhidmatan.